Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Kisah Keikhlasan Seorang Kontraktor


Assalamualaikum wbt sahabat blogger semua. Semoga kalian senantiasa mendapat rahmat Allah SWT. Selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW. Semoga syafaat baginda kita perolehi kelak.
Hari ini saya ingin bercerita sedikit mengenai sebuah keikhlasan. Razi ( bukan nama sebenar) merupakan seorang kontraktor kelas F di tempatnya. Menjadi seorang kontraktor bertaraf kelas F bukan sesenang dahulu dimana dahulu bilangannya sedikit tetapi projeknya banyak tetapi kini bilangannya banyak tetapi projeknya terhad. Jadi, persaingan memang teramatlah kuat.

Pada tahun ini, Razi masih gagal mendapat sebarang projek sama ada melalui kerja undi mahupun secara sebutharga. Beliau sama sekali tidak kecewa malahan percaya semua rezeki itu datangnya dari Allah SWT. Di samping itu, beliau membuat kerja-kerja kampung lain seperti menoreh getah bagi menampung kehidupan beliau dan keluarganya.

Oleh kerana beliau tidak mendapat apa-apa projek, beliau mempunyai banyak masa terluang terutama sebelah petang setelah habis aktiviti menoreh beliau. Bagi memenuhi masa lapangnya, selepas zohor beliau kerap membersihkan surau di tempatnya. Beliau mencuci tandas suraunya, mengemop lantai, membersihkan kipas siling, memvakum karpet malah jika bilal tiada, beliau akan mengalunkan azan Asar jika sudah masuk waktu.

Beliau melakukannya tanpa mengharapkan apa-apa bayaran mahupun dilantik sebagai AJK surau. Beliau merasakan ia adalah tanggungjawabnya sebagai ahli kariah surau. Malah, jika ada lebihan rezeki beliau pada bulan itu, beliau akan mengambil bil elektrik dan air yang ditempatkan di papan kenyataan surau dan membayarnya sebagai salah satu niat sedekah beliau.

Suatu hari, penghulu mukim berjumpa beliau dan meminta beliau untuk memasuki sebutharga yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi projek membesarkan surau itu. Sebagai tanda memenuhi 'permintaan' tok penghulu, beliau pun memasuki sebutharga itu tanpa berharap beliau akan terpilih.

Setelah keputusan sebutharga dikeluarkan, ternyata beliau yang terpilih melaksanakan kerja tersebut walau ada ramai kontraktor lain yang melakukan hal yang sama. Beliau amat terkejut apabila dihubungi oleh pemberi kerja bahawa syarikat beliau yang terpilih semasa mesyuarat berlangsung. Beliau bersyukur kepada Allah SWT atas kurniaan rezeki ini. Sungguh besar kurniaan Allah SWT kepada beliau.


p/s: kisah di atas adalah sebuah kisah benar. nama dan watak terpaksa dirahsiakan atas faktor-faktor tertentu.

 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info