Seorang gadis Yaman  berumur 13 tahun, mati selepas empat hari dikahwinkan oleh keluarga  dengan lelaki yang jauh lebih tua dari umur kanak-kanak tersebut,  menurut sebuah kumpulan hak asasi manusia tempatan.
Ilham Mahdi al Assi  meninggal dunia di sebuah hospital di daerah Hajja, menurut Shaqaeq  Arab Forum untuk Hak Asasi Manusia, memetik satu laporan perubatan dari  hospital al-Thawra yang mengatakan bahawa pengantin kanak-kanak  perempuan itu mengalami kecederaan alat kelamin dengan pendarahan yang  teruk.
Ilham adalah mangsa penganiayaan di Yaman dan satu contoh yang jelas akibat membenarkan perkahwinan tanpa had umur, menurut SAF.
Gadis tersebut berkahwin pada Isnin lepas dalam satu perkahwinan tradisi yang dikenali sebagai ‘perkahwinan pertukaran’, dimana abang pengantin perempuan mengahwini adik pengantin lelaki.
Sigrid Kaag,  pengarah daerah bagi UNICEF, berkata dalam satu kenyataan bahwa agensi  kanak-kanak Bangsa-bangsa Bersatu ‘merasa kecewa di atas kematian tetapi  masih lagi ada pengantin kanak-kanak perempuan di Yaman’.
Perkahwinan  kanak-kanak perempuan berlaku secara meluas di Yaman dan menarik  perhatian kumpulan hak antarabangsa untuk memberi tekanan kepada  kerajaan agar mengharamkan perkahwinan tersebut.
Kemiskinan di  Yaman menjadi punca utama, dimana keluarga miskin amat sukar untuk  mengatakan ‘tidak’ apabila ditawarkan beratus-ratus dollar untuk  mengahwinkan anak mereka. Lebih dua puluh lima peratus gadis Yaman  berkahwin di bawah umur 15 tahun, menurut laporan tahun lepas oleh  Jabatan Hal Ehwal Sosial.
Pada Februari,  2009, satu undang-undang menetapkan usia minimum untuk berkahwin pada  usia 17 tahun, tapi perkara itu dibantah dan dihantar kembali ke  jawatankuasa perlembagaan parlimen untuk dibentangkan semula selepas  beberapa ahli politik menyebut undang-undang tersebut sebagai ‘tidak  Islam’.
Beberapa ulama yang  menandatangani keputusan terhadap larangan perkahwinan bawah umur turut  dikeluarkan dari jawatankuasa. Pada bulan ini jawatankuasa itu didesak  untuk membuat keputusan akhir mengenai perundangan tersebut.
Isu pengantin  kanak-kanak perempuan mendapat perhatian meluas tiga tahun lalu apabila  seorang kanak-kanak 8 tahun melarikan diri selepas perkahwinannya dengan  lelaki berusia 30an dan meminta perlindungan mahkamah. Dia diceraikan  apabila menang dalam perbicaraan.
Pada bulan  September, seorang isteri, kanak-kanak berumur 12 tahun mati setelah  berjuang selama tiga hari untuk melahirkan anak, menurut persatuan hak  asasi tempatan.
Yaman pernah  menetapkan 15 tahun sebagai usia minimum untuk berkahwin, tetapi  parlimen membatalkan undang-undang pada 1990an, dengan alasan ibu bapa  berhak memutuskan bila untuk menikahkan anak gadis mereka. Petikan Daily Mail

