Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, remaja berkenaan yang selama ini merahsiakan kandungannya itu daripada pengetahuan ahli keluarga akhirnya terpaksa menceritakan segala kejadian terbabit selepas dia mendapatkan rawatan di Hospital Balik Pulau (HBP).
Susulan itu, seorang pelajar tingkatan empat yang juga teman lelaki remaja itu ditahan di kawasan Balik Pulau, awal pagi kelmarin bagi membantu siasatan.
“Siasatan juga mendapati mangsa mengaku yang bayi perempuan yang dilahirkannya hasil hubungan yang dilakukan dengan teman lelakinya dan dia juga memberitahu tidak pernah melakukan hubungan seks dengan orang lain,” katanya.
Menurutnya, setakat ini, mangsa dan juga bayinya yang seberat 2.7 kilogram dalam keadaan stabil dan masih dirawat di HBP.
“Mangsa dan suspek sudah mengenali antara satu sama lain sejak sembilan bulan lalu dan mangsa sudah berhenti sekolah kerana masalah kewangan,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.