Kejadian berlaku selepas suami wanita itu yang juga warga tempatan mengajak dua lelaki lain menyerang mangsa selepas mengetahui isterinya cuba dipikat lelaki berkenaan sejak beberapa minggu lalu.
Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara Superintendan Jani Ahmad berkata, kejadian berlaku ketika mangsa berehat dalam stor di situ bersama tiga wanita yang juga rakan sekerjanya dan terkejut apabila pintu bilik stor yang ditutup rapat dipecahkan kumpulan lelaki berkenaan.
“Sebaik membuka pintu, mangsa terus diserang dan ditetak bertubi-tubi oleh suspek yang naik minyak. Mangsa cuba mempertahankan diri namun gagal, menyebabkan dia melarikan diri kerana khuatir nyawanya terus diancam.
“Suasana di lokasi ketika itu gelap dan dikatakan mangsa serta rakannya tidak dapat mengecam wajah suspek, namun memaklumkan suspek menaiki kereta Proton berwarna merah yang diletakkan tidak jauh dari stor itu,” katanya.
Berikutan kejadian itu, katanya, mangsa patah kedua-dua tangan serta kaki serta parah di kepala dan kini dirawat di wad kecemasan Hospital Sungai Buloh, di mana keadaannya dilaporkan stabil.
Difahamkan, sejak dilamun angau dengan wanita seberang itu, mangsa yang tinggal di Meru dikatakan sudah dua bulan tidak menjenguk isteri dan keluarganya, malah sejak tidak sedarkan diri dan dimasukkan ke Pusat Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital dekat sini, tiada siapa menjenguknya.
Jani berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu ada kaitan dengan dendam terhadap mangsa yang disyaki menjalin hubungan sulit dengan seorang wanita Indonesia yang memegang status isteri.