Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Gadis Dilema Bekas Teman Wanita Menganggu Kekasihnya

Luahan Hati Seorang Gadis! Saya mengenali seorang lelaki yang cukup diminati dan merasakan seolah-olah dia cinta pertama saya. Kami akhirnya menjadi sepasang kekasih. Ketika itu, saya menjadi orang yang paling gembira di dunia ini.

Namun, kegembiraan ini tidak berkekalan apabila bekas teman wanitanya muncul dalam hidupnya. Pernah bekas teman wanitanya dimasukkan ke hospital kerana cuba membunuh diri apabila teman lelaki saya memutuskan hubungan dengannya.

Akibatnya, kami sering bergaduh dan setiap kali bertelagah, saya mengalah. Saya sering merajuk dengan teman lelaki dengan harapan dia memahami. Adakalanya saya tidak menegurnya untuk beberapa ketika.

Kekasih menganggap saya terlalu cemburu sehingga mengganggu perhubungan dia dengan kawan-kawannya. Ibu kekasih menyukai saya dan mahu kami meneruskan hubungan itu.Saya dikatakan banyak mengubah anaknya menjadi insan lebih baik. Kekasih juga mengatakan bahawa saya adalah insan yang dapat menyayangi dan membimbingnya.

Ibunya berulang kali cuba menyatukan kami kembali dan sedaya upaya untuk melembutkan hati saya.Kini, saya cuba untuk tidak menghubunginya kerana mahu menduga sejauh manakah teman lelaki menyayangi dan menghargai saya.

Apabila marah dan rasa sakit hati reda, saya menghubunginya tetapi dia pula menutup pintu hati untuk saya dan meminta usah mengharapkan apa-apa. Apa yang patut saya lakukan?


MERANA
Seremban Negeri Sembilan

Cinta itu memang akan lari apabila dicari. Namun, apabila dibiarkan pergi, ia akan menghampiri. Mahatma Ghandi pernah berkata mengenai cinta iaitu: “Ada dua titis air mata mengalir di sebuah sungai. Satu titis air mata itu menyapa air mata yang satu lagi. Saya air mata seorang gadis yang mencintai seorang lelaki tapi sudah kehilangannya. Siapa kamu pula? Jawab titis air mata kedua itu. Saya air mata seorang lelaki yang menyesal membiarkan seorang gadis yang mencintai saya berlalu begitu saja.”

Dr berharap adik tidak akan menjadi seperti lelaki dalam titis air mata kedua itu.

Dr melihat perhubungan adik dengan kekasih seperti satu permainan tarik tali. Ini bermakna apabila satu pihak menarik tali, pihak di sebelah satu lagi melepaskan. Begitulah sebaliknya. Banyak helah bela diri seperti represi, penafian, prasangka dan cemburu berlaku dalam hubungan adik dengan kekasih.Penafian perasaan juga berlaku antara adik dengan kekasih. Ia kelihatan masing-masing ingin menafikan perasaan yang dialami.

Wujud juga masalah komunikasi dan sifat berterus terang di sini. Jika adik dan kekasih masih lagi bermain tarik tali dan tidak berterus terang, pelbagai prasangka dan halangan akan wujud. Hala tuju perhubungan juga tidak akan jelas.

Sikap berterus terang dan komunikasi yang baik dengan perasaan yang tenang akan membuatkan adik dan kekasih tahu apakah yang diinginkan dalam perhubungan ini.Sebarang keputusan yang akan adik ambil mengenai perhubungan ini, perlu ada rasa tanggungjawab atas keputusan yang diambil.

Melarikan diri daripada permasalahan akan menambahkan tekanan adik. Apatah lagi, seperti yang adik katakan, cinta itu terlalu berharga buat diri adik.

Sekiranya percintaan adik dengan kekasih menemui jalan buntu, lepaskannya kerana jika kita menyintai seseorang, kita akan sentiasa mendoakannya walaupun dia bukan di sisi kita.

Jika sebaliknya, adik perlu memelihara cinta itu. Cinta umpama bunga di taman yang sedang mekar. Hiasilah dan jagalah taman itu untuk kelihatan cantik selamanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info