Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Mengelirukan, KPM perlu kaji semula penggunaan buku Iqra'

BACHOK - Selari dengan Islam sebagai agama persekutuan, aspek pendidikan Islam di sekolah kebangsaan khususnya pengajian al-Quran, tidak wajar dipandang ringan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan perlu ditambah baik untuk mengatasi segala kekurangan di dalam modulnya.

Ahli Parlimen Bachok, Ahmad Marzuk Shaary berkata, Perkara 12 (4), Perlembagaan Persekutuan berhubung dengan hak-hak pendidikan menyatakan agama bagi seseorang berumur kurang 18 tahun ditetapkan ibu bapa atau penjaga mereka.

Justeru katanya, sebagai institusi bertanggungjawab sewajarnya kementerian memastikan anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun mendapat pendidikan berkualiti dan tepat berkenaan agama mereka.

Namun, setelah 18 tahun menjadi rujukan guru dan pelajar, Ahmad Marzuk mendakwa pihaknya menemui 447 kesalahan dan kekeliruan dalam Buku Iqra’ (Cara Cepat Membaca Al-Quran) Rasm Uthmani karangan Ustaz Haji As’ad Humam daripada Indonesia.

“Buku itu diperkenalkan pada 1995 dan diguna sebagai teks subjek Pendidikan Tilawah al-Quran dan Modul Khatam al-Quran Program j-QAF di sekolah kebangsaan seluruh negara.

“Bagaimana kesalahan sebesar ini boleh terlepas pandang dan terus digunakan sejak 1995 hinggalah sekarang,” katanya.

Ahmad Marzuk berkata, kementerian perlu mengambil kira pandangan pakar ilmu al-Quran, pakar pendidikan dan guru cemerlang sebagai langkah untuk mengatasi isu modul mengelirukan itu.

Justeru, beliau mencadangkan agar membekukan agihan buku Iqra’ tersebut bagi kajian semula dan diganti buku modul baru yang lebih komprehensif.

Katanya, cadangan itu bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) al-Quran bagi subjek Pendidikan Tilawah al-Quran dan Modul Khatam al-Quran Program j-QAF benar-benar dapat ditransformasikan, selaras dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang mahukan keberhasilan murid diutamakan dalam pelaksanaannya.

Selain itu, beliau juga mencadangkan kerajaan dengan kuasa Menteri Pendidikan menubuhkan sebuah jawatankuasa siasatan atau jawatankuasa khas sebagaimana termaktub dalam Seksyen 127 dan 144, Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) bagi menangani isu itu secara lebih serius.

“Pembelajaran al-Quran merupakan suatu proses pendidikan utama, yang sewajarnya diberi penekanan dan perhatian serius oleh KPM, dalam memastikan murid dan rakyat menjadi insan kamil, yang bakal memberi manfaat kepada agama, negara dan bangsa,” katanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info