Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Antara Ustaz Kazim dan 'ulama ekspres'

Kelmarin, UMNO mengumumkan pelantikan sembilan ahli Majlis Tertinggi (MT) parti itu. Menariknya, muka baru yang dilantik termasuklah pendakwah terkenal, Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim.

Tahniah dan syabas kita ucapkan kepada Ustaz Kazim kerana berani menerima pelantikan itu. Sememangnya tidak ramai tokoh agama mahu masuk UMNO mungkin kerana takut dikritik dan dicemuh atau bimbang kehilangan populariti.

Malah, sebaik tersebar berita pelantikan Ustaz Kazim, ramai pihak membuat pelbagai komen negatif dan melabelkan tokoh agama itu sebagai macai dan anjing UMNO.

Kalau sebelum ini hos program Kalau Dah Jodoh itu dikagumi dan dihormati, tetapi dalam sekelip mata Ustaz Kazim dihina seolah-olah tokoh agama itu melakukan dosa besar semata-mata kerana menyertai UMNO.

Fenomena ini bukanlah baru. Sudah ramai ulama dan tokoh agama melalui episod yang sama apabila menyertai UMNO atau menampakkan kecenderungan menyokong UMNO atau kerajaan.

Apakah status ulama atau tokoh agama akan gugur secara automatik apabila menyertai atau menyokong UMNO dan kerajaan? Adakah menjadi satu kesalahan atau larangan bagi tokoh agama untuk berpolitik atas platform UMNO?

Ironinya, tidak pula berlaku polemik atau kontroversi apabila ulama atau tokoh agama bermain politik atas pentas PAS.
Lebih mengejutkan, personaliti yang baru sehari dua mendalami agama dipuja dan pandangannya diterima kerana berceramah atas pentas PAS.

Sebab itu, kebelakangan ini kita melihat semacam satu trend banyak ulama atau ustazah ekspres dilahirkan PAS. Ini termasuklah di kalangan artis, pesara kerajaan dan tokoh korporat. Malah, pemimpin bukan Islam dari parti sekutu PAS – DAP dan PKR pun boleh jadi ulama ekspres.

Mungkinkah ini muslihat PAS untuk menguatkan lagi persepsi umat Islam Melayu kononnya UMNO bukan parti yang memperjuangkan Islam?

Hakikatnya, PAS kini semakin jauh menyimpang daripada perjuangan asalnya. Malah, pengaruh ulama dalam PAS juga semakin terhakis seperti yang dicerminkan dalam pemilihan parti itu, baru-baru ini.

Sebaliknya, UMNO terus konsisten memperjuangkan agenda Islam. Terbaru, UMNO memasukkan cadangan penubuhan suruhanjaya bagi memelihara kepentingan dan kesucian Islam dalam usul agama yang akan dibentangkan pada perhimpunan agung parti itu, bermula esok.

Perlembagaan UMNO berkaitan status Islam juga mahu dipinda bagi memperkukuhkan lagi agenda memperjuangkan Islam. Bagi merealisasikan agenda ini, sudah tentu UMNO memerlukan sokongan ulama dan cendekiawan Islam.

Justeru, kita berharap lebih ramai ulama dan tokoh agama mencontohi Ustaz Kazim yang sanggup mengorbankan popularitinya demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Insya-Allah.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info