Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Tempoh mengajar guru di pedalaman tak ditetapkan

Kuala Lumpur: Tempoh perkhidmatan guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman tidak ditetapkan pada satu jangka waktu tertentu kerana mereka bebas untuk memohon bertukar ke tempat lain.

Timbalan Menteri Pendidikan Datuk Mary Yap Kain Ching berkata, adalah menjadi hak, tanggungjawab dan inisiatif guru yang berkhidmat di pedalaman untuk memohon bertukar ke sekolah lain sama ada di kampung atau bandar.

“Guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman mendapat beberapa keistimewaan, antaranya elaun khas mengikut lokasi dan tahap kesusahan atau bayaran insentif pedalaman, bayaran insentif tetap perumahan dan elaun balik kampung.

“Insentif berkenaan bertujuan menampung kehidupan mereka di kawasan pedalaman yang kemudahannya tidak sebaik di kawasan pekan atau bandar,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ikmal Hisham Abdul Aziz (BN-Tanah Merah) yang bertanyakan sama ada Kementerian Pendidikan menetapkan tempoh khidmat guru di kawasan pedalaman.

Selain itu, guru yang berkhidmat di kawasan pedalaman turut tidak terkecuali menerima pelbagai anugerah seperti guru cemerlang dan diberi peluang pembangunan kerjaya melalui penyertaan dalam forum dan seminar.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info