Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Doktor, isteri maki hamun guru didenda

Gambar hiasan
PETALING JAYA 4 Dis. - Tindakan seorang doktor memaki hamun seorang guru penolong kanan kerana memaksa dua anaknya mengambil mata pelajaran Pendidikan Agama Islam mengundang padah apabila dia didenda RM2,000 atau penjara 65 hari oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohd. Nazri Omran menjatuhkan hukuman itu terhadap Raymond Abd. Rahman Abdullah, 44, selepas dia mengubah pengakuan kepada bersalah hari ini.

Lelaki itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap guru tersebut, Lee Huat, 56, dengan maksud mengaibkan kehormatan mangsa di pejabat Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Jaya, SS14, Jalan SS14/6, Subang Jaya, dekat sini kira-kira pukul 2.15 petang, 4 Julai 2012.

Bekas penuntut bidang perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Sementara itu, tertuduh dan isterinya, Marinah Hashim, 39, masing-masing didenda RM500 atau penjara 25 hari selepas pasangan itu mengubah pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan berkelakuan tidak senonoh dengan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap anggota polis.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di pejabat pertanyaan Balai Polis Subang Jaya, kira-kira pukul 8 pagi, 16 Januari lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1976 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 94 akta sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Siti Fatimah Yahya manakala kedua-dua tertuduh yang mempunyai lima anak berusia antara sembilan dan 16 tahun, diwakili peguam R. Yoganathan.

Mengikut fakta kes, pasangan tersebut telah pergi ke pejabat sekolah dan meminta guru berkenaan membenarkan dua anak mereka yang belajar di situ mengambil matapelajaran Pendidikan Moral atas alasan mereka gagal dalam matapelajaran Pendidikan Agama Islam dalam peperiksaan pada pertengahan tahun.

Bagaimanapun tertuduh yang berang dengan jawapan guru tersebut bahawa pihak sekolah tidak dapat membantu memandangkan perkara itu adalah melanggar Akta Pendidikan, bertindak mengeluarkan kata-kata kesat terhadap Lee Huat dan menengking pengetua sekolah itu.

Kemudian, lelaki itu keluar dari pejabat itu dan menuju ke bilik darjah anak-anak mereka dan mengarahkan mereka untuk mengambil mata pelajaran Pendidikan Moral.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info