Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

FC Ryukyu terpikat aksi Nazmi

KETUA pengendali FC Ryukyu, Norihiro Satsukawa, terpesona dengan aksi dipamerkan anak buah Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan persahabatan yang menyaksikan Malaysia bawah 23 tahun berjaya menjinakkan FC Ryukyu 3-1 di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ), kelmarin.

Kelab dari Jepun yang bermain dalam divisyen tiga Liga Jepun (Liga-J) itu, meluahkan hasrat untuk mendapatkan tiga pemain Harimau Muda yang beraksi cemerlang sepanjang perlawanan persahabatan tersebut.

Menurut Satsukawa, beliau amat tertarik dengan persembahan beberapa tonggak utama pasukan muda negara yang dilihatnya mempunyai potensi besar dikembangkan untuk bersaing di Liga-J.

“Saya suka dengan pemain berjersi nombor 21 (Nazmi Faiz), Nombor 11 (Rozaimi) dan Nombor 9 (Tamil Arasu). Mereka bertiga mempunyai kualiti serta amat bagus dan baik sekali.

“Nazmi Faiz memiliki teknik dan kawalan bola yang bagus dan hantarannya tepat. Sentuhan penyudah Rozaimi, begitu tajam dan beliau bijak mencari ruang, manakala Tamil Arasu mempunyai kekuatan badan sangat baik,"katanya.

Namun menurut jurulatih tersebut, posisi yang paling diperlukan buat pasukannya kini bagi menghadapi Liga-J musim hadapan adalah di bahagian tengah.

“Kami kini kekurangan pemain yang bijak di bahagian tengah. Sasaran utama saya ingin mendapatkan Nazmi Faiz,” katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium MPPJ.

Sebelum ini, kelab itu mempunyai dua pemain Malaysia iaitu Wan Zack Haikal Wan Nor dan Nazirul Naim Che Hashim yang direkrut awal tahun ini.

Dalam perkembangan yang sama, pengendali skuad Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee menyambut positif, niat baik kelab yang berpangkalan di Okinawa itu untuk memancing anak didiknya.

“Ini sekali lagi membuktikan kualiti dan mutu pemain-pemain muda kita semakin meningkat. Buat masa ini, saya ingin tekankan bahawa fokus utama para pemain saya ialah misi mempertahankan pingat emas di Sukan Sea," katanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info