Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

'Jangan bagi alasan ikut Sarawak' - Anwar beri Khalid amaran

KUALA LUMPUR: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanggah alasan yang diberikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berhubung kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor kerana menyamai langkah yang dibuat kerajaan Sarawak.

Anwar berkata kerajaan Selangor sepatutnya menumpukan usaha untuk meningkatkan perkhidmatan bukan mementingkan kenaikan gaji.

Katanya, kenaikan tersebut terlalu tinggi dan Khalid perlu perlu mencari jalan untuk mengkaji semula kenaikan gaji tersebut.

"Saya tidak fikir beliau perlu mengikut langkah Sarawak menaikkan gaji pemimpin tinggi, perlu jelaskan kepada parti dan paling penting jangan terlalu pentingkan kenaikan kerana kerajaan negeri Selangor perlu memastikan peningkatan perkhidmatan.

"Saya setuju jika gaji dinaikkan tetapi pada pendapat saya menteri besar perlu menilai semua kadar tersebut dan memberi alasan munasabah kenaikan tersebut," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Anwar berkata Khalid sudah menjelaskan perkara itu kepada beliau dan sekarang Khalid wajar menjelaskan perkara itu kepada orang ramai menerusi media.

"Khalid telah berikan penjelasan dan sekarang dia perlu beri penjelasan kepada media juga akan alasannya berbuat demikian serta apa tindakan untuk mempertimbangkannya semula," katanya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 ADUN berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN (RM6,109.29 kepada RM22,500); timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250).

Khalid, ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima ADUN dan anggota pentadbiran Sarawak.

Ia juga, menurutnya, dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info