Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Nafsu buas luar tabii kelindan lori

Gambar hiasan
Kuala Lumpur: Seorang kelindan lori didakwa di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam terhadap empat tuduhan melakukan seks luar tabii terhadap seorang wanita, Ogos lalu.

Muhammad Alif Zainuddin, 22, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas tuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Bagi tuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan seks luar tabii terhadap mangsa berusia 19 tahun di sebuah bilik hotel di Brickfields pada 28 Ogos lalu.

Bagi tuduhan itu, Muhammad Alif didakwa mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau sebat atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan ketiga, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah menggunakan parang dengan niat mencabul mangsa sama dan di tempat sama kira-kira jam 5 petang, 26 Ogos lalu manakala bagi tuduhan keempat, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa di tempat sama pada keesokan hari.

Bagi tuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Sementara itu, rakan tertuduh yang juga kelindan lori mengaku tidak bersalah bersubahat dengan Muhammad Alif melakukan kekerasan jenayah terhadap mangsa pada 26 Ogos lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzie manakala tertuduh pertama diwakili V Kumar dan tertuduh kedua diwakili Shah Rizal Abdul Manan.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh pertama diikat jamin RM13,000 untuk keempat-empat tuduhan manakala tertuduh kedua diikat jamin RM3,00 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu tertuduh dilarang menghubungi mangsa dan saksi pendakwaan selain dikehendaki melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan.

Mahkamah menetapkan 26 Disember depan untuk sebutan semula kes berkenaan.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info