Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Elak rakam dan kongsi gambar aib

Gambar hiasan
Kuantan: Remaja Islam seharusnya menjaga tata susila dan kehormatan diri dengan mengelak daripada merakam gambar yang mengaibkan kerana dibimbangi disalah guna pihak tertentu.

Timbalan Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) Datuk Mohd Ghazali Abdul Aziz berkata, gambar terutama wanita dalam keadaan mendedahkan aurat tidak sepatutnya dirakam kerana ia boleh disalah guna, termasuk disebarkan melalui sosial seperti Facebook (FB) sehingga boleh mendatangkan keaiban.

Katanya, sebagai umat Islam, tatasusila dan tingkah laku perlu dipelihara daripada tindakan yang boleh menjurus kepada perbuatan maksiat dengan mematuhi larangan yang ditetapkan agama.

“Memaparkan gambar tidak senonoh di FB boleh mendatangkan aib kepada individu kerana ia menjadi perbualan masyarakat malah menimbulkan fitnah.

“Saya nasihatkan kepada belia Islam berhati-hati dan jangan sewenang-wenang mengambil gambar tidak sepatutnya walaupun hanya untuk simpanan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai dakwaan seorang lelaki yang membuka akaun FB memaparkan gambar tidak senonoh dia dengan rakan wanitanya serta mengeluarkan kenyataan mencabar JAIP menangkap mereka sehingga dikecam pengguna media sosial lain.

Mohd Ghazali berkata, walau apa pun niat pemilik akaun FB itu, dia tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan melampau yang boleh menjatuhkan maruah JAIP sebagai jabatan dipertanggungjawab menguatkuasa undang-undang menjaga kesucian Islam di negeri ini.

“Kalau mahu kritik boleh, namun perlu menggunakan saluran betul, bukan dengan memaki JAIP seolah-olah kita tidak menjalankan tugas penguatkuasaan membendung jenayah syariah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata, JAIP komited membendung jenayah syariah di negeri ini termasuk mengadakan operasi menahan pasangan berkhalwat, tidak berpuasa, minum arak dan menyebar ajaran sesat.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info