Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Penyanyi Amy Search sah diisytihar muflis

Shah Alam: Penyanyi Amy Search mendakwa dikhianati rakan hingga beliau diisytiharkan muflis oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, kira-kira dua bulan lalu.

Bagaimanapun, Amy atau nama sebenarnya, Suhaimi Abdul Rahman, 55, enggan mengulas lanjut kerana kes berkenaan masih belum muktamad.

Amy berkata, beliau akan membuat kenyataan rasmi mengenai kes pengisytiharan muflis itu selepas berbincang dengan peguam.

“Selama ini, saya lebih selesa berdiam diri kerana perkara itu berlaku tiba-tiba. Saya tidak mahu ia membawa kepada fitnah yang lebih besar apabila saya mengulas mengenainya.

“Apa yang boleh saya katakan, saya dianiaya sahabat sendiri. Bagaimanapun, tidak mengapa, saya sudah memaafkan perbuatannya. Buat masa ini, segala luahan hati akan saya tulis di Facebook biar semua orang tahu,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Destini di sini, semalam.

Katanya, beliau mengaku berdepan situasi sukar, tetapi reda dan menerima dugaan dengan hati terbuka.

“Susah atau senang, saya perlu melaluinya... ini cuma dunia. Apapun, saya bersyukur kerana masih diberi kudrat untuk terus mencari rezeki,”katanya. Sementara itu, selain Amy, Datuk Siti Nurhaliza; Datuk Rossa; Pasha Ungu; Awie; Jaclyn Victor; Adira; Hafiz Suip dan Dayang Nurfaizah akan menghiburkan peminat dalam Konsert Destini.

Konsert anjuran Yayasan Destini Anak Bangsa (YDAB) dengan kerjasama Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta Fakulti Filem Teater dan Animasi itu akan diadakan di Dewan Agung Tuanku Canselor, (UiTM), Shah Alam, selama dua hari mulai 20 Disember depan.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info