Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Bapa Mendakwa Diabaikan 7 Anak Selepas Mereka Mendapat Harta Dan Wang Tunai Darinya Melebihi 4 Juta

AYER KEROH - Seorang bapa mendakwa kehidupannya diabaikan tujuh anaknya selepas masing-masing berjaya memperoleh kesemua harta yang diusahakan selama ini berbentuk aset dan wang tunai dianggarkan berjumlah melebihi RM4 juta.

Bapa terbabit yang berusia 80 tahun itu berkata, segalanya bermula selepas dia menikahi isteri keduanya yang didaftarkan di Pejabat Agama Islam Daerah Alor Gajah.

Menurutnya, semenjak itu, berlakulah perselisihan faham antara dirinya dengan isteri pertama dan ketujuh-tujuh anaknya kerana didakwa sukar menerima hakikat dia mempunyai sebuah keluarga baru.

“Sebelum kejadian ini, saya memang sudah membahagikan sebahagian daripada harta saya kepada anak-anak saya, antaranya, tiga buah stesen minyak, tanah lebih 10 ekar (4.1 hektar) yang penuh dengan tanaman kelapa sawit serta tanah dan sebuah rumah.

“Di samping itu, saya ada mengusahakan ladang ternakan ayam berskala besar dengan dibantu oleh anak bongsu saya yang berperanan sebagai Pengurus Operasi.

“Malangnya, pada Februari 2013, saya telah ditimpa sakit angin ahmar dan dalam keadaan saya tidak sihat, anak bongsu saya telah menukar segala hak milik pegangan saham syarikat meliputi ladang ternakan ayam, sebuah rumah di ibu negara serta akaun simpanan semasa syarikat tanpa saya rela dan sedar,” katanya pada sidang media di pejabat Pusat Perkhidmatan Barisan Nasional (Pembela BN) Negeri Melaka di sini, semalam.

Warga emas itu juga mendakwa, ekoran daripada peristiwa tersebut, ketujuh-tujuh anaknya telah meminggirkannya tanpa memberikan satu sen pendapatan daripada hasil keuntungan stesen minyak, kepala sawit serta ladang ternakan ayam.

“Saya kini terpaksa menetap dan menumpang kasih di rumah isteri kedua dan anak-anak tiri. Saya terpaksa bekerja di ladang milik orang lain biarpun keadaan serta usia begini hanya semata-mata mahu menampung kos perubatan saya.

“Pada masa yang sama, anak-anak saya hidup dalam keadaan serba mewah sehingga sebahagian daripada mereka mampu pergi menunaikan umrah setiap tahun, memiliki kereta besar serta rumah besar yang lengkap dengan kolam renang, sedangkan saya terpaksa hidup dalam keadaan sukar begini,” katanya yang memfailkan tuntutan di Mahkamah Tinggi Syariah Negeri Melaka menerusi syarikat guaman Adly & Co.

Menurutnya, dia tidak menyangka kesemua anaknya memperlakukannya sebegitu yang dianggapnya tidak ubah seperti anak derhaka.

“Saya kesal dengan apa yang berlaku dan yang paling menyedihkan apabila saya pergi bank untuk mengeluarkan wang syarikat yang saya usahakan sendiri, tiba-tiba pegawai bertugas menjelaskan saya tidak berhak lagi mengeluarkan wang kerana syarikat bukan lagi atas nama saya.

“Kali terakhir saya menerima duit daripada anak pada tiga Ramadan tahun lalu, itu pun seorang anak sahaja yang beri berjumlah RM150 sambil meninggalkan pesan agar saya tidak memintanya duit lagi. Bayangkan betapa hancurnya perasaan saya, apabila tiada seorang anaknya pun yang datang bersalaman dan mencium tangan saya pada Aidilfitri lalu sedangkan mereka bermewah dengan harta yang saya usahakan,” katanya.

Sementara itu, peguam yang dilantik, Mohd Adly Ithnin berkata, kes ini akan disebut di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka pada 20 Januari jam 9 pagi.

“Sebelum ini pun, pihak mahkamah ada memanggil kesemua anaknya untuk proses runding cara pada 20 Oktober tahun lalu, namun tiada seorang pun yang datang meskipun notis telah dikeluarkan kepada setiap orang.

“Padahal, bapa ini bukan mahu menuntut harta yang telah diberikan, dia cuma mahu menuntut sedikit nafkah sebagai sara hidup dan menampung kos perubatannya” katanya.

Bagi Pengarah Pembela BN, Amir Hamzah Aziz pula mengharapkan isu berkenaan dapat diselesaikan dengan cara berhemah dengan perundingan membabitkan kesemua anak-anak.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info