Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Karpal mahu hakim di Malaysia tolak anugerah kehormat

SHAH ALAM: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar menyatakan pendiriannya terhadap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh bahawa semua hakim harus menolak gelaran kehormat yang dikurniakan ketua-ketua negeri agar sistem kehakiman negara tidak tercemar.

Timbalan Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (JATI), Datuk Aidit Ghazali berkata bukan hanya Anwar malah pemimpin PAS juga perlu menyatakan pegangan mereka bersabit gesaan Karpal.

Ujarnya, Karpal akhir-akhir ini semakin berani melontarkan pandangan bersifat rasis dan cuba menidakkan hak kaum Melayu dan orang Islam, selain mencabar institusi pemerintah negeri di Malaysia.

"Kata-katanya yang anti-islam, anti-Melayu dan anti-Raja dah tak berselindung lagi dah. Sebab mereka dah rasa diri mereka dah hebat.

"Saya cabar Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR, apakah beliau setuju dengan apa yang Karpal kata? Saya nak cabar mereka yang dalam PAS apakah mereka masih menerima orang macam Karpal dan konco-konco yang sejiwa dan sefikrah dengannya masih lagi nak bekerjasama dengan orang-orang macam ini?," soalnya ketika dihubungi Antarapos.

Tindakan Karpal tersebut tambah Aidit secara tidak langsung mahu merubah struktur negara beraja yang sememangnya diamalkan di negara ini, apatah lagi cubaan pembangkang untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik suatu ketika dahulu.

"Akhirnya mereka nak jadikan Malaysia sebagai sebuah negara republik. Saya menjemput Karpal cuba memohon menjadi rakyat mana-mana republik dalam dunia ini, seperti Singapura ke Iran ke. Terpulang pada dia yang nak sangat republik itu.

"Tapi jangan paksa apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan sejarah warisan kita semata nak ikut selera dia," katanya.

Karpal yang juga seorang peguam veteran hari ini dilaporkan meminta hakim menolak gelaran kehormat yang dikurniakan ketua-ketua negeri untuk mengelakkan sebarang persepsi negatif bahawa kebebasan kehakiman telah dicemar.

Jelasnya hakim-hakim bertanggungjawab untuk mendengar kes dari semua lapisan msyarakat, termasuk anggota keluarga diraja.

Aidit, apabila diajukan hal ini berkata sebarang pandangan yang dilontarkan Karpal tidak perlu dilayan.

"Pandangan orang macam Karpal Singh ini jangan ambil kisah lagi sebab ia pandangan seorang yang tidak menjiwai seorang yang berakyat Malaysia dan bukan orang yang menghormati kedudukan Islam, hak Raja-raja Melayu dan orang yang pernah mengatakan dan masih berpegang bahawa kalau nak laksanakan hudud kena langkah mayatnya dahulu," katanya.

Terdahulu, Karpal dilaporkan mahu semua parti atau persatuan berasaskan agama dan kaum dibatalkan pertubuhannya, termasuk PAS.

Karpal bagaimanapun berkata PAS tidak terlibat kerana parti itu mempunyai Dewan Himpunan Penyokong PAS, yang dianggotai bukan Islam.

Naib Ketua Pemuda PAS, Dr Raja Ahmad Iskandar bagaimanapun mendedahkan beliau mempunyai bukti yang menunjukkan Karpal turut menyifatkan PAS turut perlu dibubar sepertimana parti berasaskan kaum dan agama yang lain.

Hal itu mengundang ketidakpuasan hati Pemuda PAS Pusat dan mereka tidak teragak-agak untuk membawa isu itu pada Muktamar PAS yang bakal berlangsung bermula 22 hingga 24 November ini.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info