Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

DS Anwar punca PKR Sabah lumpuh

KUALA LUMPUR 26 Nov. - Tindakan 11 pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah keluar parti hari ini membuktikan kegagalan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memahami suasana sebenar politik di Sabah.

Setiausaha Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata, tindakan Anwar melantik Datuk Seri Lajim Ukin sebagai Ketua PKR Sabah tempoh hari dianggap antara punca utama yang membawa kepada perpecahan PKR Sabah itu.

"Saya melihat ini ada berhubung kait dengan cara dan kepimpinan Anwar yang melihat Sabah sebagai satu negeri yang boleh dibonekakan. Dia tidak memahami politik Sabah.

"Keputusan melantik Lajim menimbulkan polemik kerana diberikan jawatan tinggi tanpa memikirkan pemimpin PKR Sabah lain yang sudah banyak berkorban dalam persediaan untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, 11 ketua cabang (bahagian) PKR Sabah mengumumkan keluar parti dalam satu pertemuan dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak di ibu pejabat UMNO.

Mereka bukan hanya keluar parti, malah turut melahirkan sokongan terbuka kepada BN.

Yang turut hadir, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang mengumum keluar parti baru-baru ini iaitu ADUN Kadamaian, Jeremy Malajad dan ADUN Matunggong, Datuk Jelani Hamdan.

Cabang-cabang PKR lain yang terlibat di Sabah itu ialah Kota Belud, Kudat, Kota Merudu, Sepanggar, Pensiangan, Beluran, Kinabatangan, Batu Sapi, Silam, Kalabakan dan Semporna.

Abdul Rahman yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, apa yang berlaku itu adalah satu tamparan cukup hebat untuk PKR Sabah.

"Jelas sekali pelantikan Lajim dibuat tanpa menggunakan prinsip demokratik. Untuk memilih pemimpin, harus diterima semua. Tetapi di Kota Belud, Jeremy sendiri tidak menerima panggilan daripada Anwar.

"Ironinya ialah Anwar sering ke Sabah dan memberikan alasan bahawa PKR adalah demokratik. Kini hujah itu sudah memakan diri sendiri,'' katanya.

Beliau berharap, pemimpin PKR lain turut sama memikirkan masa depan mereka dalam parti berkenaan.

 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info