Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Kenaikan gaji Adun S'ngor boleh masuk rekod dunia

KUALA LUMPUR: Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (PERKASA) Datuk Ibrahim Ali menempelak kenaikan gaji Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Selangor termasuk Menteri Besar, Exco, Speaker dan Timbalan Speaker menyifatkan ia boleh tersenarai dalam rekod dunia.

Ibrahim menyifatkan kenaikan 373.3 peratus yang diluluskan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sebagai luar biasa dan tidak terkandung dalam Buku Jingga.

Katanya, wakil rakyat di Selangor perlu berkorban demi rakyat dan bukannya menggunakan dana kerajaan negeri bagi menanggung perbelanjaan mereka.

“Hebat dan luar biasa kenaikan gaji ADUN, menteri besar, speaker dan timbalan speaker dengan kenaikan 373.3%. Inilah yang dikatakan kerajaan berjiwa rakyat.

“Apakah ini salah satu janji dalam buku jingga? Saya semak, tidak ada pun. Gaji untuk wakil rakyat boleh dinaikkan tetapi peratusan kenaikan kali ini luar biasa. Boleh masuk dalam buku rekod perniagaan dunia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ibrahim berkata, alasan bebanan tugas semata-mata tidak boleh diterima dan dengan kenaikan sebanyak itu, orang kelainan upaya (OKU) pun mahu menjadi wakil rakyat.

“Bukankah wakil rakyat perlu berkorban? Malah harta sendiri juga perlu dikorbankan untuk rakyat. Kalau gaji besar,bergantung pula pada peruntukan kerajaan, sesiapa pun boleh jadi wakil rakyat.

“Orang pekak, bisu dan buta pun boleh jadi wakil rakyat. Kalau kerajaan Barisan Nasional (BN) yang naikkan gaji seumpama ini, riuh-rendah mereka serang,” katanya.

Ibrahim mendesak rakyat Selangor membantah kenaikan itu termasuk kakitangan kerajaan supaya mereka mendapat kenaikan gaji sama.

“Mereka juga ada beban tugas lebih daripada wakil rakyat. Inilah yang dikatakan ‘harapkan pagar, pagar makan padi,” katanya.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 ADUN berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN (RM6,109.29 kepada RM22,500); timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan Adun (RM6,000 kepada RM11,250).

Khalid, ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima ADUN dan anggota pentadbiran Sarawak.

Ia juga, menurutnya, dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info