Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Zahida Rafik disaman RM200, 000

KUALA LUMPUR: Bekas pemandu peribadi kepada pelakon Zahida Rafik memfailkan saman fitnah terhadap aktres itu di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu.

Noor Azman, 39, selaku plaintif mengemukakan saman tersebut selepas pelakon berkenaan gagal membuktikan tuduhan yang dia telah melarikan wang tunai berjumlah RM200,000 yang didakwa milik Zahida pada tahun lalu.

Peguam kepada Noor Azman iaitu Latheefa Koya ketika ditemui berkata, pihaknya pada 4 April lalu telah menghantar satu surat tuntutan kepada Zahida supaya menarik semula laporan polis, memohon maaf dan membayar ganti rugi kepada plaintif namun dia gagal berbuat demikian.

Disebabkan kegagalan Zahida itu jelas Latheefa, pihak plaintif terpaksa memfailkan saman selain menuntut satu perintah injunksi bagi menghalang Zahida daripada terus memfitnah plaintif secara lisan, menerusi media atau pun Internet.

"Selain itu kami turut menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk, ganti rugi tauladan dan apa-apa yang difikirkan sesuai oleh mahkamah terhadap defendan," katanya.

Bagaimanapun pihak plaintif tidak menetapkan sebarang jumlah terhadap saman yang dikemukakan terhadap Zahida.

Nama Noor Azman sebelum ini menjadi kontroversi apabila dia mendakwa Zahida mempunyai hubungan intim dengan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal selama beberapa tahun.

Dia turut mendakwa telah dibayar oleh menteri terbabit untuk menjadi pemandu kepada pelakon itu.

Noor Azman meletak jawatan sebagai pemandu Zahida pada 29 Februari tahun lalu dan membuat laporan polis untuk membersihkan namanya selepas dituduh melarikan wang RM200,000 kononnya milik Zahida.
Noor Azman (tengah) sedang berbincang dengan peguamnya, Latheefa Koya (kiri) tentang saman fitnah yang dikemukakan terhadap aktres Zahida Rafik. Penyanyi popular era 80-an, Dayangku Intan turut hadir bagi memberi sokongan kepada anak saudaranya itu. - FOTO CHAN TAK KONG.
Dalam pada itu, Noor Azman berkata, ekoran fitnah berkenaan dia gagal mendapatkan pekerjaan baharu selepas dipecat oleh Zahida selain reputasinya tercalar.

Jelasnya, perbuatan Zahida yang sengaja mengeluarkan kata-kata fitnah terhadapnya kepada pemberita disifatkan sebagai berniat jahat.

"Saya telah berulang kali dipanggil untuk temu duga kerja namun tidak berjaya kerana fitnah yang dilemparkan kepada saya.

"Akibat daripada kejadian itu juga saya terpaksa menanggung malu kerana telah disoal siat polis dan ditahan reman dalam lokap polis selama empat hari," katanya.

Sementara itu, ibu saudara kepada Noor Azman iaitu penyanyi Dayangku Intan yang turut menemani anak saudaranya itu berkata, dia dan keluarganya turut menanggung malu besar akibat kejadian tersebut.

Dayangku Intan yang juga seorang ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), berkata, nama Noor Azman perlu dibersihkan kerana dia berkenaan tidak bersalah dan fitnah itu telah memberi kesan kepada kehidupannya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info