Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Pendakwah bebas tegur majlis perkahwinan Che Ta dan Zain

Kuala Lumpur: “Di mana keberkatannya sesebuah perkahwinan itu kalau sebelum kahwin, kita sudah membuat perkara yang dilarang Allah termasuk dalam hal membabitkan pembaziran dan bermegah-megah ketika mengadakan majlis.

“Itu belum lagi dalam perkara yang seolah-olah menjadi trend sekarang bagi pasangan sebelum berkahwin untuk kononnya bergambar pra-perkahwinan sambil berpelukan dan berpegangan tangan,” kata pendakwah bebas, Zawiyah Hassan.

Menurutnya, hukum sebenar kenduri kahwin hanya sunat sebagaimana sabda Rasulullah iaitu mengadakan kenduri kahwin walaupun hanya dengan seekor kambing.

Bagaimanapun, katanya, apa yang membimbangkan apabila perkahwinan besar-besaran hingga berlaku pembaziran seolah-olah menjadi trend ketika ini sedangkan pada masa sama terdapat ramai lagi orang yang memerlukan.

“Kahwin itu satu ibadat, tetapi kita buat perkara yang dilarang seperti membazir, bermegah dan berbangga dengan kekayaan yang dimiliki, bagaimana nak dapat keberkatan Allah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam. Zawiyah yang juga bekas Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, sebaik-baik perkahwinan itu sederhana belanjanya supaya mendapat rahmat dan keberkatan.

“Kalau nak kata buat majlis besar sebab kepuasan diri, memang manusia ini selalunya tidak pernah puas, cuma kalau boleh dielak, elaklah. Kita berkahwin sebab nak dapat reda Allah, bukan pandangan orang sekeliling terhadap majlis yang akan dilaksanakan,” katanya.

Semalam, Metro Ahad melaporkan mengenai hari bahagia pelakon sensasi, Rozita Che Wan dan pasangannya, Zain Saidin yang layak digelar ‘Wedding of The Year’ atau “Perkahwinan Paling Gah Tahun Ini” berikutan belanja keseluruhan majlis berkenaan dianggarkan mencecah RM1.21 juta.

Pasangan popular itu bertuah kerana sebaik mengumumkan akan berkahwin dalam masa terdekat, pelbagai pihak tampil menawarkan diri untuk menaja hari bahagia mereka.

Tanpa mahu bergantung kepada penaja semata-mata, Che Ta dan Zain dilaporkan mengeluarkan belanja kira-kira RM300,000 bagi merealisasikan majlis perkahwinan idaman mereka.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info