Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Azmin desak kenaikan gaji baru Adun Selangor ditangguh

KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali menggesa Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim menangguhkan kenaikan gaji yang diumumkan pada Rabu.

Katanya, keputusan untuk menaikan gaji ADUN di Selangor dibuat tanpa perbincangan dengan wakil rakyat lain dan mencadangkan agar kajian semula mengenai perkara tersebut perlu dilakukan agar kenaikannya lebih munasabah.

"Saya cadangkan kenaikan elaun ini ditangguhkan dan dikaji semula agar lebih munasabah dan diterangkan kepada rakyat akan kenaikan ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Gombak pada sidang media di lobi Parlimen petang tadi.

Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor pada Rabu meluluskan kenaikan gaji untuk semua 56 ADUN berkuatkuasa 1 Januari depan, dengan timbalan speaker DUN mendapat kenaikan tertinggi sebanyak 373.3%.

Rang undang-undang Enakmen Anggota Pentadbiran dan Anggota Dewan Negeri (Saraan) (Pindaan) 2013 juga memperuntukkan kenaikan gaji menteri besar Selangor, speaker DUN dan barisan exco kerajaan negeri.

Gaji menteri besar dinaikan daripada RM14,175.15 kepada RM29,250; anggota exco kerajaan negeri daripada RM6,109.29 kepada RM20,250; speaker DUN (RM6,109.29 kepada RM22,500); timbalan speaker (RM3,327.50 kepada RM15,750) dan ADUN (RM6,000 kepada RM11,250).

Khalid, ketika membentangkan rang undang-undang itu berkata, mesyuarat exco pada 22 November bersetuju menaikkan kadar gaji itu berdasarkan formula 75 peratus daripada elaun dan gaji yang diterima ADUN dan anggota pentadbiran Sarawak.

Ia juga, menurutnya, dibuat berdasarkan kepada bebanan tugas yang dipikul tanpa mengira waktu oleh wakil rakyat.

Isu kenaikan gaji ADUN Selangor ini turut mendapat perhatian Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan ia terlalu tinggi.

Kenaikan gaji ADUN Selangor juga turut dibantah Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Negara (Perkasa) Datuk Ibrahim Ali yang menyifatkan ia boleh tersenarai dalam rekod dunia.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info