Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Mengapa PAS malu jadi nakhoda Pakatan Rakyat?

Baguslah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang sudah menegaskan bahawa dalam Pakatan Rakyat PAS bukanlah sekadar penumpang sahaja. Sebaliknya ia juga adalah penggerak pakatan itu bersama PKR dan DAP.

Bagaimanapun mengapakah Haji Abdul Hadi malu pula menegaskan juga bahawa PAS bukan sekadar penggerak Pakatan Rakyat tetapi ia adalah pemandu atau nakhoda dalam kontrak politik yang diberi nama tahaluf siyasi?

Bukankah asas perjuangan PAS itu Islam dan Islam adalah agama yang diredhai oleh Allah? Justeru mengapakah Abdul Hadi kelihatan teragak-agak atau bersimpang siur pemikirannya untuk menegaskan supaya PAS menjadi nakhoda dalam Pakatan Rakyat?

Dalam muktamar PAS ke-59 presiden PAS itu menyatakan:

“PAS akan terus bertegas mempertahankan Islam sebagai agama Persekutuan mengikut tafsiran yang sebenar dan perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan daripada digugat mana-mana pihak.”

Ketegasan sebegini amat disanjungi dan dikagumi oleh semua pencinta Islam.

Lantas Abdul Hadi pun mendesak kerajaan menolak mana-mana cadangan yang bertentangan dengan status quo Perlembagaan Persekutuan mengenai kedudukan Islam di Malaysia.

Beliau menghalakan kenyataan kepada cabaran besar yang sedang dan akan terus dihadapi oleh umat Islam Malaysia.

“Menerusi sesi pendengaran Proses Semakan Berkala Sejagat Majlis Hak Asasi Manusia anjuran Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), PAS menyeru kerajaan supaya tidak menandatangani sebarang persetujuan yang bercanggah dengan Islam,” katanya.

Sebagai nakhoda Pakatan Rakyat, PAS seharusnya bukan hanya mendesak kerajaan BN-Umno supaya tidak tunduk pada tuntutan pergerakan pro hak asasi melampau tetapi perlu memperbetulkan cara dan mesej penerangan mengenai dasar dan perjuangan PAS kepada kerabat Pakatan Rakyat – DAP dan PKR – terlebih dahulu.

PAS harus yakin dan pasti bahawa kedua-dua sekutunya itu tidak menjadi parasit atau anai-anai yang akan memamah kesefahaman mengenai PAS dan perjuangan Islamnya dalam Pakatan Rakyat.

“Umat Islam yang ada dalam negara kita ini dikejutkan dengan rentetan serangan isu berkaitan agama Islam yang menjadi agama Persekutuan, di samping suasana yang tidak harmoni cuba dicetuskan oleh kalangan yang ingin mengambil kesempatan daripadanya," kata Abdul Hadi.

"Maka timbullah isu 'Kalimah Allah', isu mazhab, hudud dan sebagainya yang diulas di tepi jalan oleh mereka yang bukan ahlinya. Perkara ini sebenarnya pernah berlaku sejak ribuan tahun dahulu.

"Apatah lagi isu yang sensitif dan jelas susur galur hukumnya ini sedang dijadikan senjata politik oleh kerajaan Umno BN untuk meraih sokongan mereka yang semakin menipis.

"Rakyat awam di jalanan pula diajak untuk memberikan ulasan, pandangan malah kritikan, walaupun kadang kala melangkaui sempadan hukum Islam yang jelas sumber dan rujukannya,” katanya.

Beliau turut menasihati ahli parti Islam itu agar tidak mudah melatah apabila isu berkenaan dimainkan media arus perdana kerana hukum-hakam berkaitan perkara itu sudah pun termaktub.

"Ahli pula tidak sepatutnya mudah terpengaruh dengan permainan media fasik yang tidak mengira dosa dan pahala.

"PAS sekali lagi menegaskan bahawa isu agama yang penuh sarat dengan hukum syariatnya yang bersendikan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama muktabar sepanjang zaman, tidak wajar menjadi barang dagangan yang boleh dijaja ke sana ke sini," katanya.

Sedihnya, ahli-ahli Syura Ulama PAS sendiri pernah turut terjun membincangkan isu kalimah Allah yang agak jelas asal usulnya bagaimana ia boleh berlaku di Malaysia. Mereka menolak pandangan Abdul Hadi mengenai isu kalimah Allah ini.

Lantas adakah Abdul Hadi ingin mengatakan bahawa ulama seperti Datuk Harun Taib dan Datuk Haron Din memberi pandangan kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh bukan Islam dalam mana-mana penerbitan Kristian tidak bersandarkan Al-Quran dan Sunnah serta pandangan ulama muktabar sepanjang zaman?

Adakah kesimpulan tokoh-tokoh PAS itu sendiri hendak disamakan dengan pandangan “rakyat awam di jalanan yang diajak untuk memberikan ulasan, pandangan malah kritikan, walaupun kadang kala melangkaui sempadan hukum Islam yang jelas sumber dan rujukannya?".

Yang jelas ialah, DAP tegas tidak mahu dan tidak akan menyokong pelaksanaan hukum Islam di Malaysia. Sementara PKR pula tetap dengan pendirian liberal demokratiknya dan, kedua-duanya mahu kalimah Allah diizinkan penggunaanya bagi non-muslim.

Sedihnya, Abdul Hadi sendiri nampaknya yang membentangkan fakta yang agak bercelaru dalam isu ini demi mengukuhkan dakwaan kononnya pihak seteru Pakatan Rakyat – BN Umno – cuba menggunakan isu sensitif ini untuk mencari pengaruh politik.

Betapa tidaknya, ia bermula dengan tuntutan majalah katolik The Herald Weekly mahu menggunakan kalimah Allah selepas pakatan DAP, PKR dan PAS berjaya menafikan BN-Umno majoriti dua pertiga dalam Parlimen pada pilihanraya umum 2008.

Hakikatnya, majalah berkenaan sudah pun wujud sebelum Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008 lagi dan tidak pernah menyatakan mahu menggunakan kalimah Allah untuk membawa makna Tuhan dalam penerbitannya.

Apabila berasa ada kekuatan politik, barulah gerakan yang agak bertali arus disusun. Mula-mula ada pihak mengimport beribu-ribu naskah kitab Bible dalam Bahasa Indonesia yang menggunakan kalimah Allah bagi maksud Tuhan ke Sarawak.

Bimbang kitab berkenaan boleh mengelirukan rakyat muslim Malaysia apabila ia diizin mendarat di Sarawak, ketetapan dibuat supaya setiap kitab berkenaan dicap dengan peringatan ia adalah bahan bacaan untuk orang Kristian sahaja.

Oleh kerana The Herald Weekly diedarkan bukan sahaja di Sarawak tetapi seluruh Malaysia maka demi menjaga sensitiviti umat Islam kerajaan memutuskan supaya ia tidak dibenarkan untuk menggunakan kalimah Allah. Maka bermula isu ini menjadi polemik politik yang mana penyelesaiannya dicari di mahkamah.

Apabila Mahkamah Tinggi mengizinkan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan non-Muslim, sudah sewajarnya menurut semangat perlembagaan yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan, kerajaan BN merayu penghakiman itu diketepikan.

Bulan lalu Mahkamah Rayuan meluluskan rayuan kerajaan itu kerana mendapati kalimah Allah bukan soal dasar dalam ajaran Kristian di samping sukar memahami apakah perkara yang mendesak sehingga The Herald terpaksa menggunakan kalimah Allah untuk menggantikan istilah Tuhan.

Bayangkan bagaimana pula pendirian PAS jika kerajaan tidak bertindak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi itu? Sudah tentu ada di kalangan pemimpin PAS yang mengecam kerajaan kerana tidak mempertahankan kepentingan Islam.

Abdul Hadi nampaknya bertegas di gelanggang (muktamar) PAS sahaja. Sebaliknya bila berhadapan dengan kerabat Pakatan Rakyat yang lain, Abdul Hadi seolah-olah memperlihatkan kompleks rendah diri yang merugikan.

Bukankah ini adalah peluang untuk memperjelaskan apakah sebenarnya doktrin ajaran Islam kepada parti kafir seperti DAP dan separuh kafir macam PKR menurut mesej surah al-Ikhlas dan surah al-Kafirun?

Bukankah Islam seharusnya memimpin bukan dipimpin?

Antarapos


 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info