Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Nasib baik Karpal tak sampai ke Putrajaya...

ISU Karpal Singh meminta Pas dibatalkan pendaftarannya bukan isu kecil yang boleh diselesaikan dengan penerangan Lim Kit Siang sahaja.

Isu seperti ini bukan berlaku sekali. Ia telah berlaku acapkali sehinggakan apa yang di terangkan oleh Kit Siang itu tidak akan menyelesaikan keserabutan rakan-rakan dalam PR mendengarnya.

Pas sudah terkena dengan kelalaian atau tindakan yang di sengajakan oleh DAP dalam PRU yang lalu berkaitan dengan isu kalimah ALLAH yang dibangkitkan oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam ucapan semasa menyambut Krismas tahun 2012 yang lalu. Kenyataan Setiausaha Agung DAP itu telah menjadikan Pas dalam keadaan ‘defensive’ dalam pilihan raya yang lalu dan mungkin ia menjadi penyebab kenapa Pas kehilangan peluang untuk mendapat kemenangan besar dalam kawasan pedalaman Semenanjung ini.

Isu itu juga dimainkan oleh pihak lawan dalam kawasan-kawasan di Kedah dan kita tahu akibat yang dialami oleh kerajaan Pas Kedah.

DAP hanya mahukan kesempatan untuk mendapatkan sokongan terhadapnya tetapi melemahkan kedudukan Pas dan Pas telahpun mengalami akibatnya hasil dari mulut yang tidak terpelihara pimpinan DAP.

Kata perpatah ‘binasanya pulut kerana santan, binasanya mulut kerana perkataan’.

Biasanya mulut yang tidak terkawal ini adalah kerana kebiasaan bercakap tidak beradap dan ia melambangkan apa sebenarnya yang ada di dalam sanubari orang yang bercakap itu.

Sesungguhnya itulah perasaan yang bersarang dalam hati Karpal itu.

Karpal bukannya asing dalam membuat kenyataan yang berbaur perkauman dan menyakitkan hati orang Melayu dan Islam ini. Dalam tahun tujuh puluhan dahulu beliau telah menyelar Sultan Selangor dan menjadi isu hangat semasa itu.

Akhirnya Karpal pernah ditampar oleh seorang guru silat dan itu menyebabkan pandangan kurang yakin orang Melayu Islam terhadap Karpal itu mudah kembali dengan hanya membuat kenyataan seperti yang beliau telah luahkan dua hari yang lepas.

Kenyataan yang menyakitkan ini sudah terlalu biasa keluar dari mulut Karpal dan saya percaya beliau tidak akan berubah kerana sudah terlalu lanjut usianya untuk berubah.

Karpal tidak boleh main pesan-pesan melalui Kit Siang sahaja untuk menyejukkan bukan sahaja ahli Pas, malahan orang Melayu Islam keseluruhannya.

Saya bersetuju dengan pandangan Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar yang Karpal perlu berhadapan dengan ahli-ahli parti rakan kongsinya Pas secara terus.

Bukannya Kit Siang yang selayaknya untuk memberi tahu apa yang diperkatakan oleh Karpal. Yang bercakap itu Karpal bukannya Kit Siang.

Bagaimana pun kita tidak salahkan Kit Siang untuk bertindak begitu, kerana beliau tahu yang DAP akhir-akhir ini sedang berdepan dengan banyak ‘kekantoian'nya dalam banyak laungan yang tidak terlaksana selama ini.

Lagipun siapa yang tahu keadaan sebenarnya DAP sedang menghadapi banyak masalah sendiri yang tidak mungkin dapat di selesaikan dalam jangka masa yang terdekat ini.

Peringatan beliau yang ada pihak hendak memecahkan PR itu seolah-olah seperti rasa bersalah dan cuba untuk memalingkan pandangan ramai dari memberikan fokus kepada kenyataan Karpal, Pengerusi partinya itu.

Kit Siang juga patut tahu sesudah usia begitu lanjut yang rakyat bukannya senang untuk di kotak- katikkan lagi.

Dalam pada itu Pas juga tidak perlu menghiraukan kenyataan Karpal itu kerana elok jika Pas anggap Karpal seorang yang tidak sihat sahaja. Orang yang kurang sihat selalunya akan bercakap merapu dan tidak ada siapa yang boleh membetulkan beliau, waima Kit Siang sendiri.

Pas perlu terus bergerak seperti biasa kerana orang Melayu sememangnya sudah begitu lali dengan tingkah laku Karpal selama ini. Kita ingatkan beliau ini hanya bersifat seperti ini hanya semasa beliau muda-muda sahaja dan tidak akan melakukan tindakan seperti itu dalam usianya yang sudah lanjut ini.

Tetapi kelanjutan usianya itu tidak menambahkan kematangannya dan dari saat ini jangan di hiraukan apa yang di katakan oleh Karpal ini. Kebebalannya ini akan terus memedihkan orang Melayu dengan agamanya.

Kalau tanpa Karpal pun bukannya Pas tidak boleh terus wujud. Pas telah wujud selama enam puluh tahun dan telah bersendirian begitu lama dan parti itu masih segar bugar. Tanpa Karpal, Pas tetap akan wujud.

Rakyat bernasib baik kerana DAP dan Karpal tidak berjaya ke Putrajaya selepas PRU yang lalu. Kalaulah ia berjaya sekarang ini mungkin Pas, UMNO dan parti-parti yang berasaskan kaum dan agama termasuk di Sabah dan Sarawak telah pun dibatalkan pendaftarannya sekarang ini.

Banyak parti-parti dalam negara ini akan dibatalkan pendaftarannya seperti yang berlaku kepada Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu.

Hari akan tetap siang walaupun ayam tidak berkokok. Tanpa Karpal atau DAP parti-parti lain tetap akan terus wujud dan bergerak secara halal. Kalau hendak memilih kali ini, pilihlah parti mana sekali pun. Tetapi pilihlah parti yang tidak mempunyai kecenderungan untuk membatalkan parti lain apabila berkuasa.

Dipetik daripada blog Aspan Alias (On Blogger since November 2006)
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info