Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Guan Eng enggan ulas isu lawatan ke China

GEORGETOWN – Ketua Menteri, Lim Guan Eng enggan mengulas lawatan rombongannya bersama beberapa exco kerajaan negeri ke China minggu lalu.

Beliau yang diminta media untuk menjelaskannya hanya berkata, ia ‘urusan rasmi antara kerajaan dengan kerajaan’ yang membabitkan beberapa exco.

“ Ia adalah urusan rasmi antara kerajaan dengan kerajaan yang mana mesyuarat itu dianjurkan Dewan Perniagaan Cina Pulau Pinang. Perbelanjaan (untuk ahli exco ) dibayar oleh kerajaan negeri.

“Kita semua dijemput untuk menghadiri persidangan antarabangsa yang diadakan di China. Lain-lain, tidak perlu saya beri komen,” katanya kepada media hari ini.

Ditanya mengapa ahli exco turut ditemani isteri masing-masing dalam lawatan 4 hingga 9 November itu, Guan Eng berkata, ia adalah mengikut di bawah "protokol kerajaan".

“Ini bukan isu, biasalah kalau pemimpin pergi keluar negara untuk menghadiri mesyuarat. Ia bukan satu isu. Lagipun rombongan itu turut disertai Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas dan ia urusan rasmi.

“Kita boleh keluarkan butir lawatan itu secara terperinci nanti. Ini kerana, sebelum berlepas ke sana (China), kita dah umumkan. Lagi pun, ini bukan pertama kali lawatan rasmi seperti ini dibuat, sebelum ini pun ada, mengapa kali ini nak dijadikan isu?,” katanya.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri mengulangi pendiriannya terhadap bantuan kepada pemilik tanah pajakan kediaman untuk memperbaharui status tanah mereka.

Guan Eng berkata, walaupun kerajaan negeri akan membantu namun tidak boleh menukar tanah berkenaan ke status pegangan bebas.

“Kerajaan negeri sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan Majlis Tanah Negara untuk penukaran hak milik kekal.

“Kita tidak mempunyai bantahan untuk melanjutkan pajakan 99 tahun selagi pemohon membayar premium 10 peratus jika pajakan tanah itu tamat tempoh,” katanya.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Inggeris mengenai 465 isi rumah di Bukit Gelugor meminta pertolongan kerajaan negeri untuk memperbaharui status pajakan tanah mereka yang akan tamat pada 2052.

Terdahulu, Guan Eng menyampaikan sumbangan RM3,000 kepada balu Koperal Zal Azri, Atiqah Mohd Rosdi bagi meringankan beban yang perlu menanggung dua anaknya yang masih kecil.

Turut hadir, Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi dan Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

September lalu, Zal Azri yang bertugas di Unit D4 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dilaporkan maut semasa menjalankan operasi bersama Pasukan Lejang D4 terhadap empat suspek di Taman Teknologi Cheng, Melaka kira-kira jam 8.15 pagi.

Zal Azri maut ketika bergelut dengan suspek setelah dipukul dengan senjata tumpul di bahagian muka dan kepala.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info