Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Isu Pas-DAP P Pinang diselesai 'dalam kelambu' - Hadi

SHAH ALAM - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata kemelut dalaman antara parti itu dengan rakan sekutunya DAP akan diselesaikan secara dalaman tidak lama lagi.

"Kita akan selesaikannya secara dalaman dan bukan melalui media. Kita belum lagi menemui mereka (DAP) di sana (Pulau Pinang). InsyaAllah ia akan diselesaikan," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemelut hubungan kedua-dua parti itu selepas media melaporkan Pas umpama boneka oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP sejak pilihan raya umum 2008.

Selasa lepas, Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang, Mohd Fauzi Yusof dilapor meminta kerajaan DAP berhenti campur tangan dalam hal ehwal dan pengurusan agama Islam selain menuntut lantikan lebih ramai pemimpin Pas sebagai ahli majlis negeri.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata walaupun parti itu hanya memperoleh satu kerusi iaitu kerusi Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, namun kerajaan Pulau Pinang tetap memberikan wakil parti itu peranan yang besar.

"Saya sangat menghargai rakan-rakan Pulau Pinang kerana memberi tempat kepada Pas walaupun kita hanya menang satu kerusi sahaja. Peranan yang diberikan cukup besar, cuma terpulang untuk mengisi peranan itu. Sudah tentu ada masalah yang belum selesai," katanya.

Beliau berkata meskipun ada beberapa perkara yang tidak sempurna dalam konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik), tetapi ia memberi manfaat kepada parti itu.

Menjawab soalan tentang adanya ahli Pas yang tidak memahami konsep tahaaluf siyaasi, anggota Parlimen Marang itu berkata: "Sudah tentu ada perkara yang kita laksanakan tetapi tidak dijalankan sekali gus termasuk tahaaluf siyaasi".

"Kita cuma memerintah tiga negeri dan bukan satu negara. Terlalu banyak perkara dan agenda perlu dilaksanakan," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut bersetuju mengenai kesediaan Mahkamah Syariah Kelantan untuk melaksanakan hukum hudud.

"Pas Pusat menyokong segala usaha kerajaan Kelantan untuk melaksanakan ajaran Islam sepenuhnya walaupun mereka menghadapi masalah dan kekangan berbentuk campur tangan oleh kerajaan pusat," katanya.

Muktamar Pas ke-59 bertemakan 'Rahmat Untuk Semua' diadakan selama tiga hari bermula hari ini dan dihadiri kira-kira 1,300 perwakilan dari seluruh negara. - Bernama
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info