Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Perlantikan Annuar Musa tidak sah - AFC

Kuala Lumpur: Pelantikan bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara oleh Kementerian Belia dan Sukan adalah tidak sah.
Ahli Jawatankuasa Disiplin Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Ednan Othman, berkata pelantikan itu tidak sah kerana Annuar masih menjalani hukuman penggantungan selama dua tahun oleh Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Annuar yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Presiden FAM, digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak sejak 4 April tahun lalu kerana didapati bersalah melanggar Artikel 88 dan hanya boleh kembali aktif pada September tahun depan.

“Mengikut peraturan apa saja aktiviti berkaitan bola sepak tidak dibenarkan selagi seseorang itu dalam tempoh penggantungan.

“Oleh itu pelantikan yang dilakukan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar adalah tidak sah.

“Jika benar dia dilantik, FAM berhak untuk mengambil tindakan tetapi setakat ini kami belum menerima apa-apa laporan dari badan induk itu berhubung isu berkenaan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau mengulas laporan BH Sukan semalam mengenai Annuar yang juga Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) berkata beliau dilantik sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara berkuat kuasa Rabu lalu.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info