Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Karpal tak perlu takut mengaku silap - Mahfuz

KUALA LUMPUR 17 Nov. - Pengerusi DAP, Karpal Singh didesak bersikap jujur dalam mendepani isu berhubung kenyataan beliau menyarankan pendaftaran Pas dibatalkan berikutan pendedahan rakaman kenyataannya itu kelmarin.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar berkata, selaku ahli politik berpengalaman, Karpal seharusnya berani mengakui kesilapannya jika benar mengatakan perkara tersebut.

"Dia (Karpal) kena jujur dan berjiwa besar. Sebelum ini dia nafikan, malah (Lim) Kit Siang juga menafikan selepas mendapat penjelasan Karpal itu.

"Dengan pendedahan ini bermakna Karpal bukan sahaja calar imej Pas tapi calar juga imej DAP apabila dia berbohong kepada Lim Kit Siang kata benda itu tidak berlaku. Dia telah heret Kit Siang buat kenyataan salah," katanya seperti dilaporkan portal rasmi Pas, Harakahdaily hari ini.

Karpal sebelum ini menafikan kenyataannya yang menyarankan pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama dan kaum dibatalkan kerana membahayakan negara.

Karpal turut menegaskan beliau tidak akan meminta maaf terhadap Pas meskipun kenyataannya itu dikritik beberapa pemimpin tertinggi parti tersebut.

Walau bagaimanapun, Dewan Pemuda Pas Pusat kelmarin tampil mendakwa mereka mempunyai bukti Karpal berbohong dalam isu itu.

Naib Ketuanya, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob mendedahkan, bukti tersebut terkandung dalam cakera padat rakaman penuh sidang akhbar selama 24 minit 47 saat oleh Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu di Pulau Pinang pada 5 November lalu.

Mengulas lanjut, Mahfuz mahu isu itu ditamatkan dengan Karpal sendiri tampil memohon maaf, bukan sahaja kepada Pas, tetapi juga kepada Kit Siang dan DAP.

"Saya harap DAP boleh mendisiplinkan Karpal," katanya.

 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info