Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Penafian Salleh Man buat ahli pas macam orang bodoh

BUTTERWORTH - Penafian Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd Salleh Man bahawa wujudnya campur tangan DAP dan PKR dalam urusan pentadbiran hal ehwal agama Islam di negeri itu, dianggap sebagai satu tamparan kepada anggota akar umbi.

Aktivis Pas, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin berkata tindakan Pesuruhjaya Pas itu pelik dan menongkah arus serta boleh diibaratkan sebagai ‘memukul’ anggota Pas dari belakang yang sebelum ini menyuarakan pendirian mereka demi maruah dan masa depan parti itu.

"Apa sebenarnya niat Mohd Salleh mengeluarkan kenyataan yang bercanggah?

Perkara yang dibangkitkan dalam sidang akhbar oleh Timbalan Pesuruhjaya Pas, Muhammad Fauzi Yusoff merupakan suara ahli akar umbi Pas negeri dalam mesyuarat cawangan pada 14 November lalu.

"Mengapa beliau mempertahankan mereka (DAP dan PKR) dan adakah kerana mahu jadi ahli parti itu? Bagi saya penafian yang dibuat tidak bermaruah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohamed Hafiz berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Mohd Salleh semalam yang menafikan wujudnya kemelut yang melanda Pas dengan pentadbiran kerajaan negeri, malah akan mengkaji secara teknikal untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap media yang melaporkan perkara berkenaan.

Mohamed Hafiz berkata penafian itu juga menunjukkan Mohd Salleh yang juga Adun Permatang Pasir, telah melanggar disiplin parti kerana telah membuat kenyataan mengelirukan.

"Selama ini beliau bercakap tentang disiplin, tetapi saya berasa pelik kenapa sanggup menafikan pendapat, suara akar umbi dan pendirian Pas negeri," katanya.

Sementara itu, bekas Timbalan Pesuruhjaya Pas negeri, Mohamed Nordin Mohd Nor berkata parti itu tidak akan dipinggirkan jika mereka tidak bekerjasama dengan DAP dan PKR.

"Kerjasama sekarang ini telah merosakkan perjuangan Islam yang dibawa Pas selama ini. Yang lebih membimbingkan ialah kini Pas dirosakkan dari dalam.

"Kita lihat sekarang, hanya berapa orang sahaja ulama yang berada dalam kepimpinan Pas Pusat, sedangkan yang lain merupakan individu atau pemimpin yang telah diatur dan mahu meneruskan agenda pihak tertentu dari luar parti," tambahnya. - Bernama
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info