Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Myanmar mahu Ong Kim Swee

Kuala Lumpur: Belum pun selesai misi mempertahankan pingat emas Sukan SEA Myanmar bulan depan, sudah ada beberapa pasukan yang menyatakan minat untuk mendapatkan khidmat jurulatih skuad bawah 23 tahun negara (B-23), Datuk Ong Kim Swee.

Jika sebelum ini pengendali Harimau Muda itu dikaitkan dengan pasukan kebangsaan Singapura, kali ini Myanmar pula dilaporkan berhajat untuk mencuba nasib.

“Pihak Persekutuan Bola Sepak Myanmar (MFF) memang berminat dengan Kim Swee selepas beliau berjaya membawa Harimau Muda memenangi pingat emas di Sukan SEA Indonesia sebelum ini. Namun pihak MFF tahu Kim Swee masih mempunyai kontrak dengan FAM sehingga hujung tahun ini jadi sebarang kemungkinan boleh berlaku,” kata sumber rapat MFF.

Ketika ini Myanmar dibimbing jurulatih dari Korea Selatan Park Sung-Hwa dengan bayaran gaji bulanan sebanyak $AS70,000 (RM224,280) dan menurut sumber itu MFF bersedia memberi tawaran lebih baik untuk memikat Kim Swee.

“Hubungan pemain dengan jurulatih Park Sung-Hwa tidak begitu baik kerana mereka kurang selesa dengan beberapa pendekatan yang digunakan oleh jurulatih itu dan mungkin atas sebab itu MFF mahu mencari jurulatih lain,” tambah sumber itu.

Jika Myanmar benar-benar serius, pasti ia memberi peluang terbaik untuk Kim Swee melebarkan sayapnya di luar negara namun bagi bola sepak negara, ia pasti sesuatu yang merugikan memandangkan sentuhan pengendali itu masih diperlukan di peringkat tempatan.

Ini kerana beliau dianggap antara jurulatih tempatan terbaik yang melahirkan ramai pemain muda berbakat serta turut menjadi antara calon pilihan bagi mengisi kekosongan ketua jurulatih Harimau Malaya Datuk K Rajagobal yang bakal tamat kontrak pada 31 Disember ini.

Selain menjadi perhatian beberapa negara di rantau ini, pengendali kelahiran Melaka itu juga dikatakan pernah menerima tawaran sebuah pasukan dari Pantai Timur bagi musim depan sebelum ini.

Sehingga kini FAM masih belum membuat sebarang perbincangan mengenai kontrak baru Kim Swee dengan mengambil pendekatan menunggu keputusan aksi skuad B-23 di Sukan SEA Myanmar terlebih dulu.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info