Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Perwakilan gesa PAS buat ketetapan pengerusi PR

Firdaus Masood
SHAH ALAM 23 Nov. - Pas Johor menggesa kepimpinan tertinggi parti itu supaya membuat ketetapan bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berhubung siapa sebenarnya pengerusi dalam pakatan pembangkang.

Wakilnya, Firdaus Masood berkata, ketetapan itu perlu dibuat atas alasan bagi memperbetulkan kefahaman rakyat mengenai struktur pakatan pembangkang yang dilihat menimbulkan kekeliruan.

"Pas Pusat perlu menyatakan siapakah pengerusi bagi pakatan pembangkang, adakah Pas, PKR atau DAP. Kepimpinan perlu lihat struktur ini dan tunjuk kepada rakyat.

"Daripada penetapan itu, langkah itu juga akan menentukan siapa yang bakal menduduki jawatan Perdana Menteri jika pakatan memenangi PRU-14 (Pilihan Raya Umum Ke-14)," katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden pada Muktamar Tahunan Pas Ke-59 di Stadium Malawati di sini hari ini.

Beliau juga mahu kepimpinan tertinggi Pas menyegerakan pendaftaran pakatan pembangkang sebagai satu parti turut merangkumi PKR dan DAP bagi mewujudkan sistem dua parti di negara ini.

Firdaus turut menggesa kepimpinan tertinggi parti itu mendedahkan laporan bedah siasat prestasi Pas pada pilihan raya umum lalu yang masih belum diperoleh ketika ini.

Sementara itu wakil Perlis, Mohd. Shukri Ramli menggesa, pemimpin Pas memberikan penjelasan berhubung konsep tahaluf siyasi (kerjasama politik) kepada ahli di peringkat bawahan bagi mengelakkan salah faham mengenainya.

Katanya, langkah itu perlu dilakukan sendiri oleh pemimpin Dewan Ulama Pas dan Majlis Syura Pas.

"Sesuai dengan konsep rahmat untuk semua, tahaluf siyasi perlu diperkemaskan dalam kalangan orang Melayu dan penerangan perlu dibuat di peringkat bawahan.

"Ini kerana selepas tahaluf siyasi diluluskan Majlis Syura, ada ahli Pas merujuk kepada ustaz di kampung dan termakan dengan saraf UMNO," katanya.

 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info