Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Pelakon mahu saman malu ustaz RM3 juta

Kuala Lumpur: “Saya bertekad menuntut saman malu berjumlah RM3 juta daripada individu ini. Bagaimanapun saya masih membuka ruang untuk sebarang perbincangan. Sekiranya beliau berdiam diri, tindakan susulan dibuat bagi menuntut hak saya,” kata pelakon dan penerbit, Norul Iman Abd Rahman atau Boy Iman, 33, mengulas konflik membabitkan dirinya dan seorang ustaz berkenaan projek perumahan.

Menerusi syarikatnya AFF Pictures Sdn Bhd, Boy Iman dilantik sebagai duta syarikat terbabit yang bakal membina rumah banglo mampu milik berharga di bawah RM100,000 di seluruh negara kecuali Sabah dan Sarawak.

Projek ini dibangunkan dalam tempoh tiga tahun dan sebagai ganjaran, dia menerima bayaran RM500,000.

“Satu sidang media diadakan pada Mei lalu yang turut dihadiri Presiden SENIMAN, Zed Zaidi dan beberapa artis antaranya Abon bagi menghebahkan perkara ini.

AFF Pictures Sdn Bhd juga bertindak sebagai syarikat pemasaran untuk projek ini.

Majlis itu berjalan lancar tanpa menampakkan sebarang masalah berbangkit di kemudian hari.

“Saya juga percayakan individu ini kerana sudah lama kenal dia kerana sering mendapatkan khidmatnya dalam penyediaan makanan dan kanopi untuk majlis anjuran saya.


Pada akhir Ramadan lalu, kami sama-sama mengerjakan umrah dan apabila pulang saya dapati beliau seperti hendak sisihkan saya,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, paling dikesalkan ialah individu ini cuba mengetepikan dia apabila berurusan secara langsung dengan SENIMAN sedangkan sebelum ini dia yang ditugaskan sebagai orang tengah untuk projek ini.

“Beliau boleh hantar mesej Sistem Pesanan Ringkas (SMS) mengatakan tak nak ambil saya sebagai duta.

Saya juga berjumpa dengan peguam dan terkejut apabila dimaklumkan individu ini tidak menurunkan tandatangan pada kontrak.

Alasan yang diberikan memang tidak masuk akal iaitu beliau sibuk dan tidak mempunyai masa berbuat demikian.

“Tidak dinafikan pembabitan saya dalam projek ini membantu kerana lebih 500 pembeli membuat tempahan dan membayar wang penuh berjumlah lebih RM10 juta.

Apabila jadi begini, saya bimbang orang pandang serong pada saya.

Sekiranya berlaku penipuan, sudah pasti nama saya turut terpalit,” katanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info