Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Perlantikan Annuar Musa tidak bercanggah - Khairy

KUALA LUMPUR- Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin menjelaskan pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara tidak bercanggah dengan peraturan penggantungan yang dikenakan terhadap tokoh itu oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini.

Khairy berkata, bekas Timbalan Presiden FAM itu dilantik sebagai penasihat dan menjalankan tugas untuk memberikan pandangan terhadap pelaksanaan yang diperlukan untuk program pembangunan bola sepak negara dan bukannya melibatkan diri secara langsung dalam operasi sukan berkenaan.

“Saya telah mendapatkan pandangan daripada Pesuruhjaya Sukan dan pelantikan ini langsung tidak melanggar proses penggantungan di bawah Artikel 88 Statut FAM 2010-2014 yang telah dipinda.

“Sebagai menteri, saya melantik Annuar mengikut Akta Pembangunan Sukan di bawah kelolaan Pesuruhjaya Sukan, di mana saya mempunyai kuasa terhadapnya. Lebih-lebih lagi, Annuar hanya digantung mengikut Artikel 88 dan bukannya dari Akta Pembangunan Sukan," katanya kepada pemberita dekat sini, semalam.

Khairy sebelum itu melancarkan Yayasan NAAM, gerakan afirmatif baharu.

Tegas Khairy, tugas sebagai penasihat tidak sewajarnya ditakrifkan sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam aktiviti serta operasi sesuatu bidang sukan.

“Adakah bila ditugaskan untuk memberi pandangan sudah ditakrifkan sebagai seorang yang terlibat secara langsung dalam sebarang aktiviti dan operasi dalaman sukan bola sepak seperti tanggungjawab yang dijalankan oleh seorang pengurus pasukan?," katanya.

Katanya, sebagai seorang menteri bertanggungjawab, beliau langsung tidak mahu melihat FAM dikenakan sebarang tindakan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) kerana gagal melaksanakan peraturan yang ditetapkan, sebaliknya mahu melihat perkembangan positif badan induk tersebut.

Khairy diminta mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib FAM, Datuk Taufek Razak yang membidas dirinya kerana melantik Annuar sebagai salah seorang anggota Jawatankuasa Program Pembangunan Bola Sepak Negara.

Sebelum ini, Annuar digantung dua tahun enam bulan selepas didapati bersalah melanggar Artikel 88 Statut FAM yang mana beliau didakwa mengkritik prestasi pasukan bimbingan Datuk K. Rajagobal pada April tahun lalu.

Sementara itu, Khairy enggan mengulas lanjut mengenai masa hadapan Rajagobal dan menyerahkannya kepada kebijaksanaan FAM untuk membuat keputusan.

“Bagi pengendali Harimau Muda, Datuk Ong Kim Swee yang dikatakan sudah mula dirisik beberapa negara Asia Tenggara pula, juga terpulang kepada FAM. Sekiranya FAM mahu Kim Swee kekal, kenalah tawarkan kontrak baharu, jika disambar pasukan negara lain, itu rezeki jurulatih berkenaan.

“Bola sepak adalah bersifat antarabangsa, maka tidak timbul mana-mana jurulatih tidak boleh membimbing pasukan luar selain dari negara sendiri," katanya.

 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info