Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Aksi 'ringan-ringan' depan masjid yang memalukan

Gambar hiasan
Putrajaya: Keunikan dan kemegahan seni bina Islam ditonjolkan pada Masjid Putra, di sini seolah-olah dipandang sebelah mata terutama segelintir pasangan kekasih yang tanpa segan silu memadu kasih di pekarangan masjid berkenaan.

Lebih memalukan, gelagat tidak bermoral itu dikesan berleluasa terutama pada waktu malam, sekali gus mengundang tanggapan negatif sama ada oleh pelancong tempatan dan asing yang melawat masjid berkenaan.

Difahamkan, keadaan memalukan itu semakin menjadi-jadi terutama pada hujung minggu dan cuti umum apabila ada pasangan yang duduk berdua-duaan sambil bergurau-senda di bangku dan tempat istirahat yang disediakan di sekitar masjid berkenaan.

Seorang pengadu, Abdul Rahman Muhamad Sidek, 50-an ketika ditemui berkata, dia melahirkan rasa terkilan terhadap perlakuan pasangan kekasih berkenaan kerana ia bukan sahaja tidak manis dipandang kanak-kanak, sebaliknya tidak menghormati kesucian masjid yang berdiri megah di hadapan mereka.

Beliau berkata, dia mengakui kerap terserempak dengan pasangan kekasih di perkarangan masjid berkenaan terutama selepas pulang daripada menunaikan solat di masjid berkenaan.

“Lebih memalukan, ada pasangan yang melenting dan mengeluarkan kata cacian apabila ada orang ramai yang menegur perbuatan mereka itu. Malah, ada pasangan yang mengakui sudah berkahwin dan bertunang apabila ditanya status hubungan masing-masing.

“Saya pasti orang awam dan seisi keluarga yang beristirahat di pekarangan masjid itu pasti malu dengan situasi menyakitkan mata itu,” katanya.

Katanya, dia pernah terserempak dengan pasangan yang berpelukan di atas kerusi dengan lagak seperti pasangan suami isteri.

Abdul Rahman berkata, mereka tidak sedar bahawa perilaku memalukan itu boleh mengundang persepsi negatif pelancong asing selain memberi teladan tidak elok kepada kanak-kanak.

Menurutnya, setiap kali terserempak dengan pasangan kekasih di perkarangan masjid itu, dia terus membawa anak-anaknya beriadah di tempat lain.

Sementara itu, seorang penjawat awam yang mahu dikenali sebagai Aminah, 30 an berkata, dia berharap ada penguat kuasa ditugaskan memantau keadaan itu dan mengambil tindakan tegas terhadap pasangan berkenaan.

Menurutnya, dia melihat aktiviti tidak bermoral itu semakin berleluasa dan sukar dikawal.

Tinjauan Harian Metro mendapati beberapa pasangan kekasih turut menjadikan beberapa lokasi sekitar termasuk Dataran Putrajaya; Jambatan Sri Wawasan; Jambatan Seri Gemilang dan Stesen Putrajaya Sentral sebagai ‘port’ melepak dan melakukan perbuatan maksiat dan terlarang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bahagian Penguatkuasa Perbadanan Putrajaya (PPj) Tamjis Dasim berkata, pihaknya tidak berdiam diri mengenai perkara itu, malah sudah memantau lama kegiatan tidak bermoral itu.

Menurutnya, buat masa ini, pihaknya hanya sekadar menegur dan menyuruh pasangan berkenaan beredar dari kawasan masjid berkenaan.

“PPj memang mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan ke atas pasangan yang melakukan perkara tidak sopan, tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan, kita menyerahkan kuasa penuh itu kepada Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI),” katanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info