Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Anak gagal curi RM20,000 duit bapanya

MUAR – Seorang lelaki membuat laporan polis palsu mendakwa dirinya diragut di hadapan sebuah bank di sini dalam cubaannya untuk melarikan wang berjumlah RM20,000 milik bapanya, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Polis Muar, Superintendan Sahadan Jaafar berkata, bagaimanapun tembelang lelaki berusia 21 tahun itu terbongkar selepas polis mendapati terdapat keraguan dalam laporan yang dibuatnya.

Menurutnya, dalam kejadian kira-kira jam 2 petang, lelaki itu membuat laporan polis mengatakan wang yang diletakkan dalam satu beg kecil diragut dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal berhampiran bank berkenaan.

“Pengadu (lelaki) itu kemudiannya membuat laporan polis di balai berhampiran mendakwa kehilangan wang tunai berkenaan.

“Namun siasatan yang dilakukan tidak menunjukkan sebarang petanda dia diragut dan mendapati ada unsur penipuan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar di sini, semalam.

Sahadan berkata, hasil soal siasat lelaki itu mengaku mereka cerita dirinya diragut dan dia sebenarnya diarahkan bapanya untuk memasukkan wang tunai itu ke dalam akaun bank hasil daripada jualan sawit.

“Lelaki yang bekerja dengan mangsa (bapa) itu mendapat kepercayaan bapanya dan diamanahkan untuk memasukkan wang di bank.

“Kita jumpa wang berjumlah RM10,000 pada suspek, manakala RM10,000 lagi disimpan di rumahnya,” katanya.

Jelas beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 182 kanun keseksaan kerana membuat laporan palsu dan dia kini ditahan reman untuk siasatan lanjut.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info