Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Polisi baru Petronas aniaya peniaga kecil Melayu

BERAPA ramai antara kita yang pergi ke stesen minyak Petronas setiap pagi untuk membeli nasi lemak, roti dan kuih-muih yang dibekalkan syarikat kecil Melayu atau makcik-makcik di kampung untuk dijadikan sarapan?

Semua itu dikhuatiri hilang tidak lama lagi apabila Petronas didakwa mengamalkan dasar baharu, bercanggah dengan dasar penubuhan syarikat minyak negara itu untuk membantu peniaga tempatan.

Daripada projek ratusan juta ringgit melibatkan telaga minyak di tengah laut sehinggalah kepada kontrak bekalan roti di kedai Mesra Petronas, semuanya didakwa mula diberikan kepada syarikat asing tanpa memberi peluang adil kepada peniaga tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) Mohd Nizam Mahshar berkata, badan bukan kerajaan itu menerima banyak aduan daripada syarikat dalam industri minyak dan gas negara mengenai sikap Petronas yang didakwa mereka sebagai pilih kasih dalam memberikan kontrak.

“Pembekal perkhidmatan minyak dan gas, pengusaha stesen minyak, kontraktor atau syarikat logistik, semuanya mengadu mengenai Petronas,” katanya dalam satu pertemuan dengan Sinar Harian, baru-baru ini.

Dasar Petronas mula berubah


Beliau mendakwa Petronas cuba mengetepikan syarikat Bumiputera dan Melayu dalam pemberian kontraknya dan tersasar daripada peranan asalnya untuk membantu membangunkan syarikat Bumiputera dalam industri minyak dan gas.

Menurut Mohd Nizam, MTEM dan syarikat tempatan dalam sektor itu berkongsi pendapat sama dengan Petronas bahawa pemberian kontrak harus dilakukan berdasarkan keupayaan dan prestasi syarikat.

“Memang kita pun mahu syarikat yang layak sahaja diberikan kontrak tetapi jangan guna alasan itu untuk hentikan semua projek kepada syarikat Melayu,” katanya.

Mohd Nizam berkata, MTEM pernah mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Petronas berhubung isu ini pada Februari lalu namun hasilnya tidak memuaskan.

“Mula-mula nampak hasil pertemuan seolah-olah baik, (pengurusan tertinggi Petronas) janjikan pelbagai perkara, termasuk kerjasama antara MTEM dan Petronas.

“Tetapi dua minggu selepas pertemuan itu, Petronas hantar surat jawapan memaklumkan syarikat itu tidak bersedia memberi komitmen kepada perkara dibincangkan dengan MTEM dalam pertemuan itu, terutama berhubung agenda Bumiputera dan Melayu,” dakwanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info