Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Bubar Majlis Syura adalah mustahil - PAS

SHAH ALAM – Dakwaan pihak tertentu menyatakan Majlis Syura Ulama akan dibubarkan adalah tidak benar, sebaliknya ia dipercayai sengaja dilakukan individu tidak bertanggungjawab untuk melaga-lagakan pimpinan dan ahli Pas.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menegaskan, adalah mustahil majlis syura ulama, yang terkandung dalam perlembagaan parti berkenaan dibubarkan.

“Majlis Syura Ulama Pas ini diputuskan oleh kepimpinan Pas melalui mesyuarat agung, bukan orang perseorangan. Ia bukan boleh dibuang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berkaitan terdapat usaha licik pihak tertentu untuk menghapuskan Majlis Syura Ulama Pas seperti yang didakwa dalam sebuah laman sosial Facebook, baru-baru ini.

Laman sosial itu membuat kesimpulan tersebut berdasarkan petikan kenyataan yang didakwa dilaporkan oleh Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Dr Siti Mariah Mahmud bahawa lebih baik majlis syura dibubarkan sekiranya jawatan kuasa Pas Pusat tidak mengikuti panduan dan garis panduan dikeluarkan Majlis Syura Ulama.

Facebook itu turut mendakwa, AJK Pas Pusat tidak mengikuti keputusan yang ditetapkan majlis syura, sebaliknya hanya mengambil langkah ‘menutup mata’.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim, yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas berkata, Facebook yang menyiarkan laporan itu disenaraikan Setiausaha Agung Pas, sebagai laman sosial merosakkan jemaah dalam parti dengan penyebaran berita palsu dan fitnah.

“Saya minta semua ahli supaya rujuk sumber rasmi parti, bukan sumber yang tidak dikehendaki,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatan Kuasa (AJK) Kerja Pas Pusat, Idris Ahmad menyifatkan tuduhan itu sebagai ‘serangan’ kepada parti semasa PRK Dun Sungai Limau di Kedah dan Muktamar Pas ke-59, pada bulan ini.

Katanya, tuduhan yang sengaja mengaitkan AJK Pas Pusat tidak menghormati keputusan dibuat Majlis Syura Ulama Pas juga tidak benar dan ia tidak sepatutnya timbul memandangkan kedua-dua organisasi itu saling berhubungan antara satu sama lain.

“Majlis Syura Ulama memutuskan soal asas. Contohnya, apabila soal tahaluf siyasi dibangkitkan, ia akan dibincangkan dalam jawatankuasa politik dan AJK Pas Pusat.

"Kemudian apabila diluluskan Majlis Syura, barulah perkara itu dilaksanakan, jadi dakwaan seperti itu mustahil berlaku,” katanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info