Harian Metro Online

Harian Metro Online | Sinar Harian | Berita Harian Online | Berita Semasa | beautifulnara |

Muktamar PAS: Tahaluf siyasi bakal berdendang lagi

SHAH ALAM - Usul mengenai tahaluf siyasi dalam PR dijangka dibangkitkan semula dalam Muktamar Pas kali ke 59, kata Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani.

Menurutnya, usul berkenaan akan dibangkitkan kerana mengambil kira cadangan Ketua Ulama Pas, Datuk Harun Taib yang mahu tahaluf siyasi ini dikaji semula.

“Tahun lalu usul ini telah dibangkitkan atas cadangan ulama Pas, ianya akan dibangkitkan semula.

“Saya rasa masih ada yang mengusulkan isu ini memandangkan cadangan kerajaan Kelantan yang mahu melaksanakan hudud di negeri itu terus ditentang,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Katanya, selain daripada usul itu, isu PRU13 turut dibangkitkan sebagai persediaan Pas menghadapi pilihan raya seterusnya.

“Dalam isu ini mereka akan membentuk sebuah pasukan baru sebagai persediaan menghadapi PRU14.

“Mungkin juga akan ada usul-usul yang membincangkan tentang strategi Pas untuk menarik semula undi Melayu yang dikatakan sudah tidak menyokong Pas,” katanya.

Sementara itu, Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Azmi Hassan berpendapat, kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya parti politik berasaskan kaum dibatalkan pendaftarannya perlu diusulkan dalam Muktamar Pas kali ini.

Menurutnya, perkara tersebut berkait rapat dengan kedudukan Pas sebagai parti politik dan rakan PR.

“Perkara ini perlu diusulkan supaya suara akar umbi didengari," katanya.
 
Copyright © 2014 Harian Metro Online - All Rights Reserved
Template By Catatan Info